Sunday, February 23, 2014

TEKNIK PENANAMAN PADI






Ø Padi (Oryza sativa) merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk di Asia, Amerika Latin dan Caribbean. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan penggunaan air dan baja yang banyak serta perlu ditanam dengan cara yang teratur.





KAEDAH PENANAMAN PADI
SISTEM MENGUBAH
·        Menanam secara manual
*      Dalam sistem mengubah memerlukan penyediaan tapak semaian yang dipilih di kawasan yang agak tinggi dari keadaan sekeliling.
*      Lebar tapak biasanya 1-2 meter dan panjangnya pula bergantung kepada kemudahan untuk mengurus air.
*      Tanah dibajak 2 kali iaitu pertama untuk mendapatkan keadaan permukaan tanah yang baik. Seterusnya tapak ditambak setinggi kira-kira 5-10 cm dari paras biasa dan diratakan.
*      Anak padi ditanam mengikut barisan untuk menyenangkan kerja-kerja pengurusan kelak.
*      Tiap-tiap lubang ditanam sebanyak 2-3 pokok.
*      Anak padi ditanam tegak dan tidak terlalu dalam supaya pengeluaran tunas tidak terganggu.
*      Jarak tanaman tidak melebihi 25 cm x 25 cm untuk hasil optimum.

·         Menanam menggunakan jentera penanam
*      Boleh diamalkan terutama di kawasan di mana tabur terus tidak boleh diamalkan serta bagi kawasan yang mengalami masalah padi angin (klik lihat ulasan mengenai padi angin) dan juga sesuai bagi kawasan yang kekurangan tenaga kerja.
*      Mengubah dengan menggunakan jentera penanam memerlukan anak semai dalam kotak khas.
*      Kadar benih yang disyorkan ialah 50 kg/hektar.
*      Media semaian disediakan dengan campuran 50% sekam padi terbakar dan tebal media ialah 2-2.5 cm dipadatkan.
*      Benih terpilih direndam selama 24 jam dan ditoskan selama 48 jam untuk memudahkan percambahan.
*      Benih pracambah ditabur dalam kotak semai khas dengan kadar 200 g/kotak.
*      Semaian dibiar bercambah 2-3 hari dan kemudian dipindah ke rak takungan untuk direndam.
*    Semaian dijaga sehingga 15 hari atau tinggi semaian diantara 15-20 cm sebelum diubah dengan jentera penanam.




SISTEM TABUR TERUS
*      Sistem tabur terus iaitu serak basah dan serak kering. Tabur terus serak basah diamalkan secara meluas sekarang.
*      Benih yang telah bercambah ditabur terus ke kawasan sawah dalam keadaan tepu. Bagi serak kering pula, biji benih pracambah ditabur ke kawasan sawah kering selepas penyediaan tanah.
*      Tanah kemudiannya akan dipadatkan selepas benih ditabur.
*      Bagi kedua-dua sistem ini kadar biji benih yang disyorkan ialah 60 kg/hektar.

PEMBAJAAN
*      Diantara perkara penting yang perlu diberi perhatian di dalam pembajaan tanaman padi ialah kadar dan masa pembajaan dilakukan.
*      Bagi tanaman secara tabur terus, kadar baja yang digunakan ialah 100 N:40P205:30K2O bagi semua kawasan.
*      Bagi tanaman secara mengubah, kadar 80 N: 30 P205:20K2O telah disyorkan bagi kawasan pantai barat dan kadar 80 N:40P205:20K2O bagi kawasan di pantai timur.
*      Bagi kaedah mengubah, baja urea digunakan pada peringkat semaian iaitu sebanyak 45-50 g/meter persegi 15 hari selepas benih ditabur.
*      Baja yang digunakan di dalam skim baja subsidi ialah baja campuran dan baja urea.
*      Pengambilan baja oleh tanaman juga bergantung kepada tahap kesuburan tanah termasuk faktor fizikal dan kimia tanah bagi sesuatu kawasan.
*      Masa membaja bergantung kepada varieti padi, cara menanam dan musim penanaman.
*      Pada kebiasaannya, pembajaan tanaman padi dilakukan secara menabur secara manual dan jarak taburan setiap lemparan ialah tiga meter.
*      Pembajaan di sawah dilakukan sebanyak 3 kali untuk cara mengubah dan tabur terus.
*      Untuk kedua-dua kaedah tanaman ini, pembajaan pertama terdiri dari baja campuran NPK manakala baja kedua dan ketiga ialah baja N sahaja.





PENGURUSAN PEROSAK
·         Penggunaan Varieti Rintang
Penggunaan biji benih tulen yang menepati Standard Minimum Biji Benih, di mana ia tulen dan tidak berpenyakit akan dapat mencegah kejadian rumpai dan serangan penyakit bawaan biji benih.
·         Amalan Kultura
Penyediaan tanah yang sempurna termasuk meratakan tanah dan pengurusan air yang berkesan.
·         Penggunaan Musuh Semulajadi
Musuh semulajadi membantu membunuh perosak-perosak tanaman adalah labah-labah, pepatong dan kumbang-kumbang seperti Casnoide interstitialis, Coccinella arcuta dan lain-lain. Kumbang Coccinella arcuta makan serangga perosak khususnya anak dan ibu bena perang sementara kumbang Pyrtorhinus lividipennis memusnahkan telur bena perang manakala labah-labah memerangkap serangga perosak.
·         Kawalan Perosak Secara Biologi
Ternakan ikan seperti ikan keli, sepat dan lampan jawa secara intergrasi di dalam sawah dapat mengawal serangan serangga, moluska dan rumpai serta mengurangkan penggunaan racun. Dengan mengambil faktor-faktor ekosistem sawah, satu hektar sawah boleh menampung diantara 3000-4000 ekor anak ikan. Ikan boleh dituai selepas berumur 60 hari.
·         Penternakan Itik Muscovy Secara Intergrasi
Dapat mengawal masalah rumpai sawah, padi tumpah dan juga merupakan sumber protin dalam kehidupan harian pesawah.
·         Penggunaan Racun Perosak Secara Betul
Penggunaan racun perosak adalah dibenarkan jika ia melebihi tahap tindakan kawalan, sekiranya populasi perosak atau kejadian penyakit melebihi paras tersebut.
Penyakit utama tanaman padi
1.   Karah Padi (Pyricularia oryzae)
2.   Hawar Seludang (Thanatephorus cucumeris = Rhizoctonia solani)
3.   Hawar Daun Bakteria (Xanthomonas oryzae)
4.   Bulir Hitam (Ustilagioide virens)
5.   Penyakit Bintik Perang (Drechslera oryzae)
6.   Hawar Anak Benih
7.   Penyakit Merah Virus
8.   Jalur Daun Bakteria (Zanthomonas oryzicola)
MEMUNGUT HASIL
*      Padi mesti dituai seelok padi masak.
*      Kelewatan menuai boleh menyebabkan kekurangan hasil kerana pokok-pokok padi akan rebah, biji-biji padi lerai dan juga kerosakan oleh musuh-musuh dan penyakit-penyakit.
*      Biasanya padi elok dituai dalam masa 35 hari selepas 50% dari pokok-pokok mengeluarkan tangkai-tangkai padi.
*      Biasanya padi dituai dengan jentuai (combine harvester).
*      Kemudian biji-biji padi dileraikan dengan cara membanting tangkai-tangkainya ke dalam tong pembanting.
*      Hanya di kawasan yang menanam padi secara kecil-kecilan padi dituai dengan 'ketam' padi.
*      Terdapat juga mesin-mesin penuai lengkap yang kecil dan ringan iaitu 'mini combine' yang juga boleh menuai, membanting dan membersihkan hasil padi sekaligus, tetapi ia hanya boleh menuai seluas 0.1 ha (1/3 ekar) sejam.


No comments:

Post a Comment