Wednesday, September 14, 2016

SISTEM HIERARKI MAHKAMAH DI MALAYSIA


Rajah 1 : Sistem hierarki terkini di Malaysia

SISTEM HIERARKI MAHKAMAH DI MALAYSIA 

Ø  MAHKAMAH PERSEKUTUAN
Mengikut Perkara 121(2) Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidang kuasa tertentu. Antaranya ialah Untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya, Asal atau runding sebagaimana yang ditentukan mengikut Perkara 128 dan 130  dan Lain-lain seperti yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang persekutuan. Rayuan Jenayah Mahkamah Persekutuan boleh, menurut seksyen 87 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, mendengar dan menentukan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes-kes jenayah yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam bidangkuasa asalnya.

Ø  Rayuan Sivil
Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 memperuntukkan bahawa rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan boleh dibuat ke Mahkamah Persekutuan dengan kebenaran Mahkamah Persekutuan. Kebenaran itu boleh diberi jika :–
      Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai apa-apa kuasa atau perkara sivil yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi di dalam menjalankan bidangkuasa asalnya dan ianya melibatkan persoalan prinsip umum yang diputuskan bagi kali pertama atau sesuatu persoalan penting yang memerlukan penghujahan lanjut dan keputusan Mahkamah Persekutuan di atasnya akan memberi manafaat awam
    Keputusan Mahkamah Rayuan itu adalah mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan termasuklah kesahihan mana-mana undang-undang bertulis berhubung peruntukan Perlembagaan itu. (sesyen 96 (a) dan (b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964).
Hanya Mahkamah Persekutuan sahaja mempunyai bidangkuasa eksklusif untuk memutuskan :
            Apa-apa persoalan samada sesuatu undang-undang yang dibuat oleh Parlimen atau Dewan Negeri itu adalah tidak sah atas alasan bahawa badan itu membuat peruntukan berhubung sesuatu perkara yang mana Parlimen ataupun Dewan Negeri mengikut mana-mana yang berkenaan tidak ada kuasa untuk membuat undang-undang.
               Pertikaian atas apa-apa persoalan lain antara Negeri dengan Negeri atau antara Persekutuan dengan mana-mana Negeri. (Perkara 128(1) Perlembagaan Persekutuan). Rujukan Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan – “Tanpa menjejaskan apa-apa bidangkuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika dalam mana-mana prosiding di hadapan suatu mahkamah lain suatu soal berbangkit tentang kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan ini, Mahkamah Persekutuan mempunyai bidangkuasa (tertakluk kepada mana-mana kaedah Pegawai dan kakitangan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan mahkamah yang mengawalselia penjalanan bidang kuasa itu) untuk memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu kepada mahkamah yang satu lagi untuk dibereskan mengikut keputusan itu”.

Ø  MAHKAMAH RAYUAN
Mahkamah Rayuan telah ditubuhkan pada tahun 1994. Penubuhannya bertujuan untuk mewujudkan saluran tambahan bagi mendengar kes-kes rayuan daripada Mahkamah Tinggi dan juga bertujuan untuk mengurangkan beban Mahkamah Persekutuan untuk mendengar kes-kes rayuan yang dibawa di hadapannya.
Mengikut Perkara Perlembagaan Persekutuan, Mahkamah Rayuan mempunyai bidang kuasa seperti Bidang kuasa untuk memutuskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi atau seseorang hakimnya (kecuali keputusan Mahkamah Tinggi yang diberikan oleh pendaftar atau pegawai lain Mahkamah itu dan yang boleh dirayukan kepada seorang hakim Mahkamah itu di bawah undang-undang persekutuan) dan apa-apa bidang kuasa lain yang diberikan oleh atau di bawah undang-undang  persekutuan. (Perkara 121(1B) Perlembagaan Persekutuan)
     Dalam kes Dalip Bhagwan Singh (supra), mahkamah telah memutuskan bahawa Mahkamah Rayuan di Malaysia secara umumnya terikat dengan semua keputusannya sendiri melainkan jika terdapat pengecualian tertentu seperti yang diperuntukan dalam kes Young v Bristol Aeroplane (1994) yang membenarkan Mahkamah Rayuan di Malaysia untuk menyimpang daripada keputusan sendiri yang terdahulu. 
   Mulai daripada 1 Oktober 2006 bilangan Hakim Mahkamah Rayuan telah bertambah kepada 22 orang melalui perintah oleh Yang di-Pertuan Agong (Perkara 122A(1) Perlembagaan Persekutuan) Pindaan P.U.(A) 385/2006.

Ø  MAHKAMAH TINGGI
Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa :
       Penyeliaan dan pengubahan keputusan semua Mahkamah Bawahan, serta juga bidang kuasa untuk membicarakan semua rayuan daripada Mahkamah Bawahan, baik kes sivil mahupun kes jenayah.
Mahkamah Tinggi juga mempunyai bidang kuasa sivil yang tidak terhad, dan umumnya membicarakan kes-kes yang tuntutannya melebihi RM1000, selain daripada kes-kes yang melibatkan kemalangan kenderaan bermotor, penderitaan, dan pertikaian antara tuan rumah dan penyewa. Mahkamah ini juga membicarakan kes-kes yang berkait dengan kesahan atau pembubaran perkahwinan (perceraian) dan perkara-perkara suami isteri, kemuflisan dan perkara-perkara berkait dengan penggulungan syarikat, hak penjagaan kanak-kanak, pemberian kenyataan sah wasiat, wasiat, dan surat kuasa mentadbir estet, injunksi, pelaksanaan tertentu (specific performance), atau pembatalan kontrak dan kesalahan individu.
       Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa yang tidak terhad terhadap semua kes jenayah selain daripada perkara-perkara yang melibatkan undang-undang Islam.
Kes-kes dibicarakan oleh seorang hakim yang tunggal di dalam Mahkamah Tinggi, atau oleh seorang pesuruhjaya kehakiman. Sedangkan hakim-hakim Mahkamah Tinggi diberikan perlindungan jawatan, para pesuruhjaya kehakiman dilantik untuk penggal dua tahun dan tidak menerima perlindungan yang sama di bawah Perlembagaan.

MAHKAMAH BAWAHAN / RENDAH
Di Malaysia terdapat beberapa mahkamah bawahan iaitu :

Ø  MAHKAMAH SESYEN
Mahkamah Sesyen mempunyai bidang kuasa seperti membicarakan kes-kes kemalangan kenderaan bermotor, tuan rumah dan penyewa (landlord and tenant), distress; dan bidangkuasa sivil bagi amaun yang tidak melebihi RM250,000-00, bidangkuasa jenayah bagi membicarakan serta memutuskan kesalahan-kesalahan yang lain daripada kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman mati, Meminta rekod apa-apa prosiding yang dijalankan di hadapan Mahkamah Majistret dan Mahkamah Penghulu.
Ø  MAHKAMAH MAJISTRET
Akta Mahkamah Rendah 1948[4] juga menggariskan bidangkuasa yang diperuntukkan kepada Mahkamah Majistret dalam menjalankan kuasanya. Mahkamah Majistret mempunyai bidang kuasa :

Bidangkuasa Majistret Kelas Pertama
Antara tindakan guaman yang boleh dibicarakan serta diputuskan oleh Majistret Kelas Pertama adalah seperti, segala tindakan guaman sivil yang amaun dalam pertikaiannya adalah tidak melebihi RM25,000-00, membicarakan serta memutuskan hukuman bagi kesalahan-kesalahan jenayah yang penghukumannya adalah tidak melebihi lima tahun penjara atau denda sebanyak RM10,000-00 atau sebat sehingga 12 kali[5] atau gabungan mana-mana hukuman yang disebutkan tersebut atau kesalahan yang boleh dihukum dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sahaja[6] atau kesalahan-kesalahan di bawah seksyen-seksyen 392 dan 457 Kanun Keseksaan[7]. 

Bidangkuasa Majistret Kelas Kedua
Ianya termaktub dalam Akta[8] yang sama antaranya ialah guaman asal tuntutan sivil yang tidak melebihi RM3,000-00 samada beserta faedah atau sebaliknya[9], kesalahan-kesalahan jenayah yang melibatkan penghukuman yang tempoh penjara maksimumnya tidak melebihi 12 bulan penjara atau denda sahaja[10]. Tempoh penjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM1,000-00 atau gabungan kedua-dua hukuman tersebut[11].

Ø  MAHKAMAH PENGHULU (bagi Malaysia Barat sahaja)
Mahkamah Penghulu mempunyai bidang kuasa seperti dalam seksyen 94 memperuntukkan bahawa bagi tindakan guaman sivil tuntutan yang dibenarkan adalah tidak melebihi RM50-00 serta kesemua pihak yang terbabit adalah dari bangsa Asia yang bertutur serta memahami Bahasa Melayu. Mahkamah ini juga boleh menjatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM25-00. Manakala bagi bidangkuasa jenayah pula, ia hanya boleh mendengar serta membicarakan seterusnya menjatuhkan hukuman terhadap kesalahan-kesalahan kecil sahaja yang mana awardnya adalah termaktub dalam seksyen 96.

MAHKAMAH KHAS DI MALAYSIA

Ø  MAHKAMAH KHAS RAJA-RAJA
Mahkamah khas Raja-raja mempunyai bidang kuasa membicarakan segala kesalahan YDA atau Raja sesebuah negeri atau kes sivil oleh atau terhadap YDA atau Raja negeri. Keputusan mahkamah ini muktamad dan tidak boleh dicabar dalam mana–mana mahkamah. Sebarang dakwaan ke atas atau oleh YDA atau raja mesti mendapat kebenaran peguam negara. YDA atau Raja perlu berhenti menjalankan tugas semasa perbicaraan kes jenayah sedang berlangsung.

Ø  MAHKAMAH SYARIAH
Mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa membicarakan kes sivil dan jenayah bagi orang-orang Islam. Antara kes berbicaraan adalah kes berkaitan pertunangan, matrimony (perkahwinan, perceraian, nafkah ) hak penjagaan anak, wakaf dan waris harta pusaka.

Ø  MAHKAMAH JUVANA
Mahkamah juvana mempunyai bidang kuasa membicarakan pesalah remaja yang berumur diantara 10 hingga 18 tahun dan juga melibatkan hukuman yang  ringan sahaja dan tiada hukuman mati.

Ø  MAHKAMAH TENTERA
Mahkamah tentera terbahagi kepada 2 mahkamah, antaranya adalah mahkamah tinggi tentera dan mahkamah rendah tentera. Mahkamah tinggi tentera membicarakan kes berkaitan pegawai berpangkat staf sarjan dan keatas. Hakim bagi mahkamah ini adalah Leftenan Kolonel dan 2 pegawai tinggi.
Mahkamah rendah tentera pula membicarakan kes berkaitan dengan askar dibawah pangkat sarjan. Hakim bagi mahkamah ini adalah mejar dan dua orang lain antaranya kapten atau ketua hakim.
         Mahkamah tentera mempunyai bidang kuasa bidang kuasanya adalah terhadap askar, askar simpanan atau orang awam yg bekerja dengan pihak tentera. Antara kesnya adalah kes pecah amanah dan disiplin dalam angkatan tentera. Hukuman yg dijatuhkan oleh Mahkamah tentera tertakluk kepada pengesahan seorang pegawai atasan tentera. Jika melibatkan hukuman mati, pengesahan hendaklah diperoleh daripada YDA. Hukuman boleh dirayu di mahkamah tinggi dan boleh mendapat pengampunan daripada YDA dan lembaga pengampunan.

Ø  MAHKAMAH BUMIPUTERA
Mahkamah bumiputera mempunyai bidang kuasa hanya untuk bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja dan antara bidang kuasanyan adalah kes kesalahan melanggar adat perkahwinan, seks, harta pusaka ataupun tanah.

Ø  MAHKAMAH PERUSAHAAN
Mahkamah perusahaan mempunyai bidang kuasa membicarakan kes berkaitan pembuangan pekerja, kes pertikaian perusahaan tentang syarat perkhidmatan, kes pertikaian interpretasi, variasi dan ketidakpatuhan keputusan atau perjanjian, memerintahkan mana-mana pihak majikan atau pekerja digabungkan atau digantikan atau dibatalkan. Ia juga mengeluarkan saman terhadap mana-mana pihak atau orang perseorangan untuk mengahadirkan diri ke mahkamah perusahaan.

RUJUKAN

No comments:

Post a Comment