Wednesday, April 30, 2014

Getah

Pembangunan Kawasan

Pembersihan Kawasan

Sebelum kerja penanaman dilaksanakan, kebun perlu dibersihkan daripada segala tanaman lain supaya tiada naungan. Pemuliharaan tanah, pembinaan teres, parit serta jalan perlu diberi perhatian dalam pembangunan ladang.

Kaedah Pembersihan Kawasan

    1. Pokok-pokok ditolak menggunakan jentolak sehingga tumbang dan terbungkas akarnya. Pokok-pokok yang ditolak direbahkan sehala dalam kawasan hendak ditanam semula atau tanaman baru.
    2. Bagi kawasan yang tidak boleh dimasuki jentolak atau menebang secara manual sukar dilakukan, musnahkan pokok dengan racun pokok. Campuran 1 bahagian Garlon 250 dengan 8 bahagian diesal disapu pada keliling pangkal pokok selebar 40 sm. Ulangi meracun bagi pokok yang tidak mati.

Membaris Lubang Tanaman

Tujuan utama membaris lubang tanaman adalah untuk menggunakan tanah sepenuhnya dan bagi mendapatkan tumbesaran pokok yang baik.

Jarak Tanaman Getah

Teknik Penanaman Benih Getah Polibeg

Menyediakan Lubang Tanaman

Saiz lubang tanaman mempengaruhi tumbesaran pokok getah.
    1. Gali lubang dengan cangkul sekurang-kurangnya 45 sm x 45 sm x 45 sm.
    2. Lubang yang digali dengan jentera bentuknya bulat dengan garis pusat 45 sm.
    3. Tanah yang digali diletakkan di tepi lubang. Buat dua longgok serta asingkan tanah lapisan atas dan lapisan bawah.
    4. Gaul tanah dengan 113 gram baja debu fosfat asli seperti CIRP.

Menanam Anak Getah

Teknik penanaman yang betul akan menghasilkan peratus kejayaan pokok hidup yang tinggi dan mengurangkan kerja penyulaman.
    1. Benih polibeg perlu ditanam hingga paras satu pusaran daun.
    2. Potong bahagian bawah polibeg untuk mendedahkan tanahnya. Dirikan polibeg di tengah-tengah lubang.
    3. Potong bahagian tepi polibeg secara menegak.
    4. Kambus separuh lubang dengan tanah lapisan atas. Tarik polibeg dengan cermat.
    5. Kambus lubang dengan tanah sehingga penuh dan padatkan tanah di bahagian tepi lubang sahaja supaya akar anak pokok tidak rosak.

Kaedah Kawalan Rumpai

Menggunakan Racun Rumpai

    1. Gunakan racun rumpai apabila anak getah telah mempunyai kulit berwarna perang setinggi 30 sm dari permukaan tanah.
    2. Gunakan alat pelindung semburan racun apabila menggunakan racun jenis serap supaya kecederaan pokok dapat dikurangkan.

Secara Manual (Mencangkul)

    1. Dilakukan pada peringkat awal selepas menanam kerana anak getah boleh dicederakan oleh racun kimia.
    2. Memerlukan tenaga buruh yang banyak.

Kawalan Rumpai Di Kawasan Getah Muda

    1. Kawal rumpai di keliling pangkal pokok atau sepanjang lorong tanaman, dilakukan secara bulatan sehingga 1 meter dari pangkal pokok.
    2. Kawal rumpai pada barisan tanaman selebar 2 meter dan bertambah secara beransur-ansur kepada 3 meter apabila kanopi pokok membesar.
    3. Kawalan rumpai antara barisan tanaman dilakukan dengan menebas atau meracun.

Racun Rumpai Untuk Kebun Getah

    1. Racun yang selamat digunakan bagi tahun pertama adalah racun sentuh seperti paraquat.
    2. Racun jenis sentuh mengakibatkan pertumbuhan semula rumpai yang cepat dan perlu meracun sehingga 6 pusingan setahun.
    3. Racun jenis serap seperti Roundup dapat mengurangkan kekerapan meracun.

Panduan Menggunakan Racun Rumpai Secara Berkesan

Sebelum penyemburan racun rumpai:
    1. Mengetahui jenis rumpai.
    2. Menentukan jenis racun rumpai yang sesuai.
    3. Menggunakan dos atau kuantiti mengikut syor.
    4. Masa yang sesuai iaitu kebiasaannya pada waktu pagi dan cuaca baik.
    5. Merancang arah penyemburan bagi mengelakkan pertindihan semburan.
    6. Menggunakan air bersih.
    7. Menggunakan saiz muncung penyembur yang sesuai.
    8. Memastikan alat penyembur dalam keadaan baik.

Cantasan Dahan

Tujuan Cantasan Dahan

    1. Memperbaiki bentuk dan keseimbangan jemala.
    2. Mengurangkan kerosakan angin.
    3. Meningkatkan tumbesaran batang.
    4. Memperoleh ketinggian batang yang cukup bagi tujuan penorehan dan hasil balak.
    5. Memendekkan tempoh muda supaya pokok cepat ditoreh.

Kaedah Mencantas

    1. Gunakan alat yang khusus.
    2. Potong dahan sama paras dengan batang utama atau sampai ke pangkal dahan.
    3. Keratan dibuat menyerong bagi mengelakkan air hujan bertakung.
    4. Jangan tinggalkan tunggul dahan pada batang utama untuk mengelakkan dahan bertunas semula.
    5. Segera sapukan tar atau wound dressing pada permukaan luka.

 

Cantasan Pembetulan

Dilakukan bagi membetulkan tabiat perdahanan yang tidak memuaskan. Tabiat perdahanan yang perlu diperbetulkan:
    1. Cabangan berbentuk 'V' di hujung batang.
    2. Cantas dahan yang kurang subur dan tinggalkan satu dahan untuk jadi batang utama.
    3. Dahan sisi yang subur dan menyebabkan pokok condong.
    4. Potong dahan yang berat sedikit demi sedikit bermula di pertengahan dahan supaya dahan tidak terkopak.
    5. Potong dahan di bawah kelompok mata tunas.
    6. Pusaran dahan tumbuh di satu tempat tanpa dahan utama.
    7. Jika keadaan ini berlaku di bahagian batang yang rendah, tinggalkan satu dahan paling subur untuk jadi batang utama.
    8. Jika berlaku pada bahagian batang yang tinggi, tinggalkan 3 hingga 4 dahan yang subur dengan kedudukan berjauhan antara satu sama lain.

 

Cantasan Terkawal

    1. Bertujuan untuk mendapatkan pokok yang mempunyai batang utama yang tegak dan kuat serta tidak berdahan pada paras 8 hingga 12 kaki.
    2. Pokok akan mempunyai perdahanan seimbang, semua dahan sisi lebih kecil daripada batang dan dahan keluar pada sudut yang lebar.

Proses Cantasan

    1. Lakukan cantasan apabila pokok mempunyai empat pusaran dahan.
    2. Cantas dahan paling rendah supaya pokok kekal dengan tiga pusaran dahan.
    3. Ulangi cantasan setiap enam bulan.

Pembajaan Getah Muda

Faedah Membaja

    1. Pokok cepat besar dan membolehkan ditoreh lebih awal.
    2. Meningkatkan hasil lateks dan kayu.
    3. Mempercepatkan kanopi antara pokok bertemu seterusnya mengurangkan pertumbuhan rumpai.
    4. Mengelakkan serangan beberapa penyakit daun.

Cara Membaja

    1. Kebun hendaklah bersih daripada rumpai sebelum baja ditabur.
    2. Baja dalam kawasan bulatan di keliling pangkal pokok sehingga pokok berumur 15 bulan selepas ditanam di ladang.
    3. Jejari bulatan antara 15 orang 60 sm mengikut umur pokok selepas ditanam di ladang.
    4. Cakar sedikit tanah supaya baja cepat meresap dan mengurangkan ruapan.
    5. Elakkan membaja semasa daun berpucuk muda.
    6. Selepas 15 bulan ditanam di ladang tabur baja di sepanjang lorong tanaman selebar dua meter.

Pembajaan Getah Matang


Bagi kawasan rata, beralun dan bersih daripada rumpai, tabur baja rata-rata di seluruh kawasan, kecuali 60 sm dari pangkal pokok. Jika terdapat rumpai di antara barisan tanaman, tabur baja sepanjang lorong tanaman sahaja selebar 3 hingga 3.5 meter.

Masa Sesuai Membaja

Tempoh penyerapan nutrien paling berkesan oleh pokok getah ialah 100 hari dalam tempoh ranggasan daun. Kadar pengambilan nutrien berhubung terus dengan pengeluaran daun baru. Dalam tempoh tersebut pertumbuhan daun akan berlaku paling aktif untuk mencapai saiz daun yang optimum. Proses membuat makanan (fotosintesis) berlaku setelah mencapai saiz daun yang optimum dan cukup matang akan memberi kesan maksimum terhadap pertumbuhan batang pokok getah dan pengeluaran hasil torehan.
Pembajaan untuk getah matang sesuai dilakukan sebaik sahaja daun mula terbentuk dalam musim daun luruh. Jika ranggasan sekunder dan pendaunan semula kali kedua berlaku pembajaan dengan kualiti baja yang lebih banyak iaitu melebihi 1 kg/pokok adalah diperlukan. Pembajaan dilakukan dua kali setahun dengan pembajaan kedua tidak lewat dari bulan Jun.

Pembajaan Kawasan Kerosakan Angin

Di kawasan berlaku kerosakkan angin, kepadatan daun perlu dikurangkan bagi mengelakkan patah dahan. Kadar baja terutama nitrogen tidak perlu dikurangkan tetapi penggunaannya dibahagi dua iaitu pada bulan Februari/Mac dan Mei/Jun. Pembajaan dilakukan semasa musim daun luruh.
Nota:
    1. Jika menggunakan baja SOA dan baja MOP, hanya baja SOA yang dibahagi dua bukan baja MOP.
    2. Jika menggunakan baja campuran atau baja sebatian kadar baja dibahagi dua iaitu untuk pembajaan pada bulan Februari/Mac dan pembajaan pada bulan Mei/Jun.

Pembajaan Kawasan Yang Ditoreh Dan Dirangsang

Bagi kawasan yang ditoreh dan pokok-pokok dirangsang sama ada dengan etefon atau gas etelina, baja tambahan perlu diberi bagi mengimbangi lebihan nutrien yang telah hilang akibat pengeluaran lateks yang bertambah.

Penyakit Utama Pokok Getah


Penyakit Daun

    1. Penyakit Luruhan Daun Oidium disebabkan kulat Oidium heveae.
    2. Penyakit Luruhan Daun Colletotrichum disebabkan kulat Colletotrichum gloeosporiodes.
    3. Penyakit Luruhan Daun Phytophthora disebabkan kulat Phytophthora botryosa atau P.palmivora.
    4. Penyakit Luruhan Daun Corynespora disebabkan oleh kulat Corynespora cassiicola.

Kesan Serangan Penyakit Daun

    1. Daun rosak disebabkan bintik, tompok dan bahagian daun yang mati.
    2. Daun yang teruk dijangkiti akan gugur.
    3. Pucuk dan ranting akan mati.
    4. Pertumbuhan pokok terencat yang melambatkan tempoh matang.
    5. Mengurangkan hasil lateks.
    6. Pokok muda boleh mati.

Penyakit Akar

    1. Penyakit Akar Putih merupakan penyakit paling sering berlaku dan disebabkan oleh kulat Rigidoporus lignosus.
    2. Penyakit Akar Merah disebabkan oleh kulat Ganoderma philippi.
    3. Penyakit Akar Perang disebabkan oleh kulat Phellinus noxious.

Membuka Panel Torehan Dan Memasang Peralatan

    1. Pokok getah dikatakan dewasa atau matang apabila batangnya mencapai lilitan 45sm. Bagi pokok klon ukuran ini diambil 150sm dari paras tanah. Penorehan boleh dimulakan apabial 75% daripada bilangan pokok dalam satu-satu kawasan mencapai lilitan 45sm atau lebih.
    2. Lilitan pokok boleh ditentukan dangan menggunakan peralatan terdiri daripada beroti kecil (150sm tinggi) dengan hujungnya dilekatkan dawai sepanjang 45sm. Dirikan beroti pada batang pokok dengan pangkalnya terletak pada paras tanah. Belitkan dawai di keliling batang pokok. Jika hujung dawai tidak bertemu ini menunjukkan lilitan batang pokok melebihi 45sm.
    3. Bagi pokok klon curam alur torehan ialah 30 darjah dibentuk dari atas kiri ke bawah kanan. Gunakan beroti kecil dengan ketinggian 150sm dan dihujungnya dipakukan sekeping zink 40sm panjang dan 5sm lebar dengan kecuraman 30 darjah. Dirikan beroti pada batang pokok dengan pangkalnya di atas tanah dan belitkan zink ke kiri.
    4. Tandakan kecuraman alur torehan di sepanjang bahagian atas zink dengan kapur tulis. Tandakan sempadan hadapan di sepanjang bahagian tepi hadapan beroti.
    5. Gunakan tali bagi mengukur lilitan batang bermula pada bahagian bawah alur torehan. Lipatkan tali kepada dua bahagian bagi memperoleh ½ lilitan batang.
    6. Lintangkan tali yang telah dilipat dua dengan hujung sebelah kanan terletak di hujung curam alur torehan yang paling rendah. Tandakan hujung tali sebelah kiri.
    7. Dengan menggunakan kapur tulis dan beroti tandakan sempadan belakang panel.
    8. Toreh cetek alur torehan separuh lilitan dan sempadan yang ditandakan dengan kapur. Torehan perlu berhati-hati untuk mengelakkan kecederaan pada kayu.
    9. Pasang pancur 20sm dari bahagian terendah alur torehan diikuti dengan pemasangan spring dan dawai penyangkut 20sm di bawah pancur.
    10. Buat torehan cetek beberapa kali sehingga memperoleh kedalaman yang sesuai.

 


No comments:

Post a Comment