Inilah yang dikatakan azam iaitu perasaan untuk mencapai iltizam. Jika kita hanya berangan-angan sepanjang tahun tanpa azam, nescaya kita tidak akan dapat menuju ke matlamat iltizam yang diidamkan.
Tahun baru lebih bermakna kepada pelajar kerana setelah melalui beberapa ujian, peperiksaan dan mendapat keputusan lulus untuk naik lagi ke satu anak tangga, mereka akan memulakan pelajaran baru lagi.
Di sini, pelajar akan mula berazam untuk memperbaiki diri meningkatkan mutu pembelajaran mereka. Begitulah juga bagi mereka yang bekerja, perlu berazam meningkatkan mutu kerjaya masing-masing.
Islam sentiasa menggalakkan kita sentiasa memperbaiki diri dalam segala hal. Semua itu memerlukan kepada keinginan dan usaha bersungguh-sungguh. Janganlah hanya berserah kepada nasib semata-mata. Hakikatnya, nasib masing-masing mengikut kepada usaha yang dilakukan.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.†– (Surah Al-Najm, ayat 39)Jika kita berusaha sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’, maka nasib hanya sehangat tahi ayam saja, iaitu nasib baik yang sekejap saja. Akan tetapi, jika kita istiqamah (berterusan) dalam berusaha memperbaiki hidup, maka nasib kita akan sentiasa dalam keadaan baik.
Nasib kita masing-masing tidak akan berubah dengan sendirinya sehinggalah kita sendiri yang mengubahnya. Malahan orang lain pun tidak dapat mengubah nasib kita. Perkara itu dijelaskan dalam al-Quran yang menjadi sumber rujukan terbaik untuk menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat.
Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.†– (Surah Al-Ra’d, ayat 11)Hakikatnya tiada untungnya bagi siapa yang menodai detik kehidupannya dengan perbuatan dosa. Namun, tidak dapat disangkalkan bahawa manusia tidak akan pernah terlepas daripada dosa, kecuali Nabi dan Rasul.
Oleh itu, jika kita tersalah dan tersilap, hendaklah bersegera memohon ampun kepada Allah dan bertaubat supaya lembaran kehidupan sentiasa bersih daripada segala dosa. Sesungguhnya kita tidak terdaya untuk memadam kenangan daripada ingatan kerana masa tidak pernah berpatah balik untuk memberi peluang menggantikan kenangan pahit lalu dengan kenangan manis.
Mungkin pada tahun yang sudah pernah tercipta sejarah duka, apabila kita melangkah ke tahun baru, kenangan mengguris hati sudah hilang daripada ingatan. Justeru, kita perlukan azam untuk memulihkan perasaan daripada kedukaan berpanjangan, selari dengan azam untuk mencapai sesuatu yang lebih berharga dalam hidup.
Jika kita terlalu memikirkan kenangan yang sudah berlalu, kita tidak akan ke mana melainkan hanya tersadai dalam dunia kedukaan. Oleh itu, buka lembaran baru adalah jalan terbaik untuk menutup lembaran lama.
Allah membuka banyak ruang untuk kita berbuat kebaikan ketika hidup dan mengurangkan ruang kejahatan ciptaan syaitan. Hanya tinggal kita saja yang akan memikirkan mana yang baik dan buruk. Namun, kita sudah sedia maklum ruang kebaikan membawa ke syurga dan ruang kejahatan membawa ke neraka.
Apa saja yang kita lakukan di dunia sementara ini adalah untuk mencapai iltizam hidup di dunia yang kekal abadi. Setiap kali kita berjaya mencapai iltizam yang baik di dunia ini, ia adalah jambatan untuk menuju iltizam awal kehidupan manusia iaitu akhirat.
Oleh itu, kita yang hidup di dunia ini semestinya memiliki azam masing-masing. Semoga lembaran sepanjang kehidupan kita akan sentiasa terisi azam yang baik untuk iltizam yang bukan hanya sekadar angan-angan.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan apa juga yang kamu buat daripada jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).†(Surah al-Baqarah, ayat 215)
No comments:
Post a Comment