Teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman. Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan.
Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan.
Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan.
Namun, tidak terduga tangan yang sedang
berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian. Dicantas tegahan dan mundur
segala keriangan.
Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan,
kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput
perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya
perasaan.
Namun, kita harus percaya pada takdir
dan ketentuan. Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita,
barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan
semuanya.
Takdirku Telah Tertulis
Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita, berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah.
Namun, jika sesuatu itu bukanlah
ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita
cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak
akan bisa memilikinya.
Segala yang ada di dunia ini adalah hak
Allah. kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya
adalah milik Allah. Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah
rezeki kita jua dariNya. Bersyukurlah.
Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita.
Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang
lain. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar
tentunya ada anugerah dariNya buat kita.
Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan
kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang
menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu
akan memberikan yang terbaik.”
Terkadang cinta yang menginap di hati
manusia jua suatu ujian. Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan
dari mendapatkannya. Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari
suram.
Cubalah sedaya upaya untuk menepis
setiap godaan. Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan
betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.
“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami
sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah
Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah
hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa. Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya. Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda. Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.
InshaAllah…yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan.
No comments:
Post a Comment