Wednesday, August 28, 2013

cinta dan sahabat

suatu hari cinta dan sahabat jalan-jalan di desa. tiba tiba cinta jatuh kedalam telanga. mengapa? karena cinta itu buta. lalu sahabat pun ikut terjun kedalam telaga. kenapa? karena sahabat akan berbuat apapun untuk cinta. lalu di dalam telaga cinta menghilang. mengapa? karena cinta itu halus, mudah sekali hilang jika tidak dijaga. dan akan sulit dicari. sedangkan sahabat masih terus mencari dan menunggu cinta. kenapa? karena sahabat itu sejati dan tidak akan meninggalkan mu begitu saja sebagai sahabat yang setia

untuk itu, hargai dan sayangilah sahabatmu selagi dia masih ada. sesuatu akan terasa sangat berharga ketika ia hilang. 

Saturday, August 24, 2013

TAJUK 1:PENGENALAN KEPADA PERLINDUNGAN TANAMAN



1.1         Konsep Perlindungan Tanaman


Perlindungan Tanaman adalah satu bidang ilmu sains yang mengkaji faktor-faktor yang boleh mengancam atau menjejaskan pertumbuhan normal tanaman serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk melindungi tanaman tersebut, sama ada di peringkat ladang atau pun selepas tuai. Ia bertujuan mencegah atau menghadkan kerosakan dan/atau kehilangan hasil tanaman dari segi kuantiti atau kualiti yang disebabkan oleh perosak.
Istilah perosak dalam konteks yang luas (umum) ditakrifkan sebagai organisma (patogen, haiwan dan tumbuhan) yang berterusan bersaing dengan manusia untuk makanan, menyebabkan kecederaan, kerosakan, kemusnahan, kematian, kesusahan dan pencemaran, sama ada kepada diri manusia sendiri, tanaman, haiwan peliharaan dan barang-barang/harta atau yang mengganggu ketenteraman dan keselesaan hidup manusia (contoh: nyamuk, agas, pijat).
Dalam bidang pertanian, atau lebih khusus dalam bidang perlindungan tanaman, perosak merupakan apa saja bentuk kehidupan organisma (patogen, tumbuhan atau haiwan) yang mampu merosak, mencedera, memusnah dan/atau mencemarkan tanaman dan/atau hasil pertanian sama ada secara langsung atau tidak langsung. Serangan perosak menyebabkan kerugian atau pengurangan hasil tanaman, meningkatkan kos pengeluaran dan akhirnya menjejaskan pendapatan pengusaha.

1.2         Kategori Perosak

            Perosak  tanaman boleh dikategorikan dari sekecil-kecil organisma (hidupan seni) seperti mycoplasma, virus, bakteria dan kulat yang menjadi agen/penyebab penyakit (patogen), sehinggalah sebesar-besar makhluk perosak seperti babi hutan dan gajah yang boleh memusnahkan tanaman. Perosak jenis haiwan yang penting termasuklah serangga, hamama, nematod, siput, tikus dan burung yang boleh menyebabkan kerosakan kepada berbagai peringkat pertumbuhan tanaman.
           
            Rumpai juga dianggap sebagai tumbuhan perosak, yang tidak dikehendaki oleh manusia kerana bersaing dengan tanaman yang ditanam untuk mendapatkan cahaya matahari, nutrien dan kelembapan tanah. Ia juga boleh menjadi perumah alternatif kepada perosak tanaman, menyukarkan aktiviti bercucuk tanam, menuai dan memproses hasil tanaman serta boleh menyekat sistem pengairan dan saliran untuk tanaman.  
(Nota: Perosak serangga boleh juga dikategorikan mengikut darjah kerosakan yang disebabkannya yang diterangkan dalam Tajuk 2.1.5 Kategori Perosak Serangga).

1.3         Kepentingan Ekonomi Perosak

Dalam bidang pertanian kerosakan atau kerugian hasil keluaran yang disebabkan oleh perosak perlu dinilai dari segi ekonomi. Kerugian ekonomi ialah satu tahap kerugian di mana tahap kerosakan pada tanaman terlalu kritikal dan segala tindakan pengawalan perosak terbabit perlu dilakukan segera. Kerugian ekonomi akan berlaku apabila kadar serangan perosak telah mencapai tahap kerosakan ekonomi. Tindakan pengawalan boleh dilakukan apabila kadar serangan perosak berada di tahap yang lebih rendah daripada tahap kerosakan. Tahap yang lebih rendah ini dinamakan “ambang ekonomi”. Oleh itu, tindakan pengawalan perlu dilaksanakan sebaik sahaja populasi perosak mencapai ambang ekonomi. Status perosak pada sesuatu organisma boleh digugurkan sekiranya kerugian ekonomi tidak berlaku.
Perosak, seperti juga manusia, memerlukan makanan untuk hidup. Bila perosak bersaing dengan manusia lantas manusia meletakkan status sesuatu perosak untuk melindungi kepentingannya dari segi ekonomi.  Kerugian ekonomi disebabkan oleh serangan perosak ke atas tanaman dan hasil pertanian dapat dilihat dalam beberapa aspek seperti di bawah:

i)             Menjejaskan Mutu Hasil

Akibat daripada serangan perosak, saiz buah menjadi kecil, bentuknya berubah, daun berlubang, busuk dan lain-lain. Tawaran harga bagi produk yang rosak atau tercemar akan menjadi rendah.

ii)            Mengurangkan Kuantiti Hasil

                        Mengikut anggaran yang dibuat oleh MADA, kerugian yang disebabkan   oleh rumput sambau adalah seperti berikut:


% Populasi
Rumput Sambau
Kehilangan Hasil
( kg / ha )
Kehilangan Pendapatan
(RM/ha)
5%
15%
50%
80%
227
678
2255
3608
146.00
440.00
1465.00
2346.00

Hasil per ha              =          4.5 tan
Harga per kg padi    =          RM 1.20 (2013)

Rumput
sambau
(Echinochloa
crus-galli)
 


iii)        Meningkatkan Kos Pengurusan dan Pengeluaran

Kerosakan kepada tanaman oleh perosak perlu dikawal apabila keadaan memerlukan supaya pengusaha tidak kerugian. Kawalan ini melibatkan pembelian input-input kawalan seperti racun makhluk perosak dan lain-lain. Perbelanjaan pengurusan dengan itu akan bertambah.
Penggunaan racun makhluk perosak bagi tahun 1996 dianggarkan berjumlah RM 301 juta. Maklumat penggunaan racun makhluk perosak dapat dilihat dari rekod berikut:


Jadual 1:  Anggaran Pasaran Racun Perosak Pertanian (Tahun 2000 - 2004) dalam RM Juta

Jenis
RM juta
2000
2001
2002
2003
2004
(% Pertumbuhan)
Racun Rumpai
273
220
209
214
218 (2)
Racun Serangga
68
70
62
61
64 (5)
Racun Kulat
23
25
23
23
24 (5)
Racun Tikus
14
11
13
14
17 (21)
JUMLAH
378
326
307
312
323 (3.5)
Sumber: Laporan Tahunan dan Direktori Keahlian 2003/2004 Persatuan Pemeliharaan Tanaman & Kesihatan Awam Malaysia (MCPA)


Jadual 2:  Anggaran Pasaran Racun Perosak Kegunaan Rumah Tangga   (Household Insecticides) (Tahun 2000 - 2004) dalam RM Juta

Jenis
RM juta
2000
2001
2002
2003
2004
(% Pertumbuhan)
Aerosol
95
100
102
93
94 (1)
Lingkaran nyamuk
80
81
90
77
70 (-9)
Kepingan dan lain2
30
31
31
23
24 (4)
JUMLAH
205
212
223
193
188 (-2.6)
Sumber: Laporan Tahunan dan Direktori Keahlian 2003/2004 Persatuan Pemeliharaa Tanaman & Kesihatan Awam Malaysia (MCPA)


iv.           Mencemarkan Hasil

Perosak bukan sahaja memakan tanaman dan juga hasil pertanian, tetapi juga mencemarkannya. Contohnya, najis dari tikus dan lipas boleh mencemarkan bijirin dalam simpanan.
Salah satu perosak bahan simpanan yang berbahaya dan sangat penting dari segi kuarantin dan perdagangan antara bangsa ialah kumbang khapra (Trogoderma granarium). Serangga ini boleh mencemarkan bahan simpanan seperti beras. Pencemaran berlaku apabila larva dan kulit serangga ini bercampur dengan bijirin yang disimpan terutama di bahagan atas longgokan. Serangan juga boleh berlaku sehingga  sedalam 90 cm dari permukaan longgokan.

Peringkat larva
 
Kumbang khapra dewasa
(Trogoderma granarium)

 



v.            Menyebabkan kematian

Kerosakan yang teruk pada tanaman boleh berlaku sekiranya bilangan serangga perosak yang memakannya adalah tinggi. Akibatnya, daun pokok  berkurangan dan ini mengurangkan proses fotosintesis, menyebabkan pertumbuhan pokok terbantut dan akhirnya mati. Setengah serangga perosak boleh mengorek (melombong) daun, batang dan juga akar dan ini menyebabkan kecederaan sebahagian besar bahagian pokok dan boleh menyebabkan pokok layu dan terus mati.

Setengah serangga perosak mempunyai bahagian mulut yang boleh menyucuk dan menghisap cecair tumbuhan, contohnya aphid, lalat putih (whitefly) dan thrips boleh menyebabkan berlaku kekeringan. Kerosakan teruk boleh berlaku, malahan boleh menyebabkan kematian sekiranya populasi perosak yang menyerang adalah tinggi  Serangga perosak jenis ini juga boleh menyebabkan kerosakan dan kematian kepada tanaman secara tidak langsung dengan cara menjadi pembawa penyakit terutama yang disebabkan oleh virus. Ia berlaku secara tersembunyi dan lebih berbahaya.

vi.           Menghalang perdagangan antarabangsa

Perosak tanaman bukan sahaja menyebabkan perkara-perkara yang telah disebutkan di atas, tetapi juga menjadi halangan kepada kemasukan bahan tanaman atau hasil pertanian ke banyak negara di dunia. Ini disebabkan oleh undang-undang atau peraturan-peraturan kuarantin yang dikuatkuasakan oleh sesebuah negara terbabit. Walau pun untuk menembusi pasaran luar negara memerlukan semua negara mematuhi/memenuhi peraturan-peraturan berdasarkan prinsip saintifik yang disahkan oleh standard antarabangsa (International Plant Protection Convention) yang diiktiraf oleh WTO, namun begitu, ia secara tidak langsung telah menjadi halangan perdagangan (trade barrier) bukan tarif dalam sistem perdagangan bebas sekarang. Senario ini memungkinkan sesetengah negara menggunakan isu keselamatan makanan dan keperluan fitosanitasi sebagai halangan perdagangan secara tidak berpatutan dalam usaha melindungi industri pertanian domestik mereka daripada persaingan import.  Sebagai contoh, hingga hari ini buah-buahan dari Malaysia sangat sukar untuk menembusi pasaran di negara Jepun dan Australia kerana negara-negara terbabit  mengamalkan peraturan kuarantin yang sangat ketat terutama berkaitan serangga perosak lalat buah.
Lalat buah Mediterranean (Ceratitis capitata) atau juga dikenali dengan singkatan Medfly contohnya, merupakan salah satu perosak buah-buahan yang paling berbahaya dan sangat penting dari segi kuarantin. Sehingga hari ini, Malaysia masih bebas daripada serangan lalat buah jenis ini dan pihak berkuasa Malaysia khususnya Bahagian Perlindungan Tanaman dan Kuarantin Tumbuhan, Jabatan Pertanian sentiasa mengambil langkah-langkah perlu bagi menghalang kemasukannya ke negara ini.


Hubungan Perlindungan Tanaman Dengan Bidang Lain

Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, bidang Perlindungan Tanaman mengkaji tentang perosak yang mampu mengancam atau menjejaskan pertumbuhan normal tanaman serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk melindunginya. Bidang ini saling berkait rapat dengan bidang-bidang lain seperti ditunjukkan dalam Rajah 1.1 di bawah.










Rajah 1.1   Hubungan perlindungan tanaman dengan bidang lain.

 
 























Entomologi:  Kajian saintifik berkenaan serangga. Merupakan salah satu cabang bidang biologi gunaan. Serangga adalah antara makhluk paling berjaya hidup di dunia ini. Ia merupakan pesaing utama manusia bagi mendapatkan makanan (hasil pertanian), merosakkan harta benda, membawa penyakit kepada manusia dan haiwan peliharaan serta tanaman. Namun, tidak semua serangga adalah perosak, malahan, setengahnya adalah berguna kepada manusia. Contohnya, lebah yang menghasilkan madu dan sebagai pendebunga, ulat sutera yang menghasilkan sutera, setengahnya sebagai sumber makanan kepada manusia dan haiwan peliharaan. Serangga juga berperanan sebagai agen kawalan biologikal, di mana serangga tertentu digunakan untuk mengawal serangga perosak atau pun rumpai.  Dengan adanya pengetahuan mengenai serangga, kita akhirnya mampu mengurus serangga ke satu tahap yang tidak mengancam tanaman, kalau pun tidak boleh menghapuskannya sama sekali. Pada masa yang sama, serangga boleh dijadikan sebagai ’rakan petani’ di ladang. Oleh itu, pengetahuan dalam bidang entomologi sangat berkait rapat dengan perlindungan tanaman.

Patologi Tumbuhan (Phytopathology): Merupakan bidang sains yang mengkaji berkenaan sifat (semula jadi), sebab dan akibat, perkembangan dan juga kawalan/rawatan penyakit tumbuhan. Antara bidang-bidang sains lain yang ada kaitannya dengan patologi tumbuhan ialah mikologi (kajian berkaitan kulat), bakteriologi (kajian berkenaan bakteria), virologi (kajian berkenaan virus) dan nematologi (kajian mengenai nematod). Banyak penyakit tumbuhan boleh disebabkan oleh organisma patogenik seperti kulat, bakteria, virus, nematod dan sebagainya dan juga oleh faktor-faktor tidak berjangkit yang menyebabkan perkembangan tumbuhan tidak normal. Pengecaman (identification) penyakit tanaman dengan tepat merupakan langkah awal dalam merancang program kawalan penyakit atau perlindungan tanaman secara berkesan dan cekap.

Sains Rumpai: Rumpai juga dianggap sebagai perosak (tumbuhan perosak), yang yang banyak menimbulkan masalah kepada manusia. Kepentingan rumpai dalam sektor pertanian tidak dapat dinafikan. Ia menyebabkan kemerosotan hasil pertanian serta menimbulkan masalah-masalah lain dalam kehidupan manusia. Sebelum kita dapat mengawal rumpai dengan berkesan dan efisyen, maka, kefahaman tentang biologi rumpai seperti sifat-sifat rumpai, pengkelasan perlu diketahui terlebih dahulu. Oleh yang demikian, sains rumpai juga penting dan sangat berkait rapat dengan perlindungan tanaman.


Botani: Untuk memahami sifat-sifat penyakit dan serangan perosak, mereka yang terlibat dalam perlindungan tanaman perlu mengetahui anatomi, fisiologi dan juga amalan-amalan agronomi baik (good agronomik practices) tanaman.

Kimia / Biokimia: Bidang ini amat penting dalam perlindungan tanaman kerana salah satu kaedah kawalan yang paling berkesan dalam mengawal/merawat serangan perosak dan penyakit tanaman adalah menggunakan kaedah kimia atau pun racun perosak. Racun perosak yang berbagai jenis dan berbeza cara/kesan tindakan memerlukan rumusan kimia yang tertentu dalam proses pembuatannya.

Bio-Teknologi: Bidang ini penting dalam kajian pembiakbakaan tanaman (sama ada pemilihan spesis/varieti tanaman secara konvensional/semulajadi, penghibridan dan mutasi atau penghasilan tanaman transgenik) yang rintang/toleran pada sesetengah perosak, penyakit, keadaan persekitaran tertentu atau kepada racun rumpai tertentu. Contoh: kacang soya yang toleran kepada racun rumpai glyphosate dan jagung yang mengandungi toxin bakteria Bacillus thuringiensis (Bt corn) yang beracun terhadap perosak serangga. Dengan terciptanya tanaman sedemikian melalui pengetahuan mengenai bio-teknologi, tanaman akan terselamat dari kerosakan yang teruk dari serangan perosak/penyakit atau keadaan persekitaran yang tidak dikehendaki. Penggunaan racun dapat dikurangkan atau tidak diperlukan lagi dan dengan itu tanaman bebas daripada sisa baki racun perosak.



Ekonomi:  Perosak mengurangkan nilai ekonomi tanaman. Akibatnya, hasil tanaman akan mendapat harga yang rendah di pasaran dan situasi ini menunjukkan kaitan antara bidang perlindungan tanaman dengan ekonomi.

Sains Tanah: Agen atau penyebab penyakit menyerang bahagian akar pada tanaman biasanya menghuni persekitaran tanah. Faktor-faktor bukan biotik yang menyebabkan penyakit tidak berjangkit yang ada kaitannya dengan tanah seperti kelembapan, struktur tanah, kandungan unsur nutrien dan pH tanah boleh menyebabkan pertumbuhan tanaman tidak normal. Aktiviti pertanian seperti  pembajakan dan penyemburan racun pada tanah boleh mencederakan tanaman jika tidak dilaksanakan dengan cara yang betul. Oleh itu, pengetahuan mengenai sains tanah penting untuk memastikan punca penyakit (sama ada berjangkit atau tidak berjangkit) dikenal pasti dan dirawat menggunakan kaedah yang sesuai.

Kejuruteraan: Mengawal perosak dan penyakit tanaman merupakan salah satu aspek yang penting dalam perlindungan tanaman. Sebagai contoh, racun perosak, walau bagaimana berkesan sekali pun, tidak akan dapat disampaikan kepada sasaran dengan berkesan dan cekap tanpa alatan penyembur tertentu dan menggunakan teknologi aplikasi yang sesuai.  Penggunaan traktor dalam aplikasi racun perosak biasa digunakan terutama di ladang-ladang yang besar. Oleh itu sains kejuruteraan juga memainkan peranan yang penting dalam perlindungan tanaman.

Ekologi:  Merupakan kajian saintifik mengenai taburan dan kepelbagaian organisma, saling hubungan (interaksi) antara organisma hidup sebagai satu kesatuan atau sistem dalam lingkungannya mahu pun saling hubung antara organisma hidup dengan alam sekitar. Alam sekeliling atau ekosistem berkait rapat dengan faktor biotik (benda bukan hidup) seperti cuaca dan geologi dan abiotik seperti tumbuhan, mikrob, manusia dan haiwan lain. Sebarang perubahan kecil kepada alam sekitar atau sistem kehidupan organisma tertentu akan memberi kesan yang besar ke atas kehidupan organisma lain dan perkara ini boleh dieksploitasi untuk kepentingan dalam bidang pertanian. Antara lain, penerapan ekologi dalam bidang perlindungan tanaman adalah seperti penggunaan musuh-musuh semula jadi seperti pemangsa dan parasitoid sebagai agen kawalan secara biologi di sawah padi dan penggunaan burung pungguk sebagai pemangsa tikus di sawah dan ladang kelapa sawit. Cantoh-contoh yang dinyatakan ini tidak mungkin dapat dimanafaatkan tanpa kajian dan pengetahuan yang mendalam berkaitan ekologi organisma hidup terbabit.

 Zoologi:  Salah satu bidang sains biologi yang berkaitan dengan kajian saintifik terhadap alam haiwan dan kehidupannya termasuk struktur (kajian tentang sel), fisiologi (kajian proses dan sistem biologi seperti pernafasan, sistem urat saraf, perpeluhan, darah dan sebagainya dan memahami bagaimana struktur-struktur yang berkaitan dengannya berfungsi), perkembangan dan pengkelasan, sama ada yang hidup atau pun telah pupus. Ini termasuklah kajian mengenai haiwan seperti siput dan lintah, kutu dan hamama (haiwan invertebrata) serta roden, tupai dan burung (haiwan vertebrata) yang mana setengahnya merupakan perosak kepada tanaman. Dengan mempelajari sifat dan tabiat haiwan-haiwan perosak ini maka, akan memudahkan kita mengawal perosak-perosak terbabit menggunakan kaedah kawalan yang sesuai.